KUALA LUMPUR: Di sebalik ketibaan kedua panda Fu Wa dan Feng Yi ke Malaysia, pasangan panda atas dasar setiakawan serta pinjaman, ia turut membabitkan kos kepada Malaysia.
Untuk tempoh 10 tahun, Malaysia perlu membayar kepada China sekitar RM3 juta kepada China setiap tahun untuk membela haiwan berkenaan.
Perkara itu sepertimana dipersetujui dalam Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Panda Gergasi yang ditandatangani antara Malaysia dan Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar China pada 15 Jun 2012.
Untuk menempatkan pasangan panda, dianggarkan RM25 juta dibelanjakan untuk membina kompleks panda gergasi di Zoo Negara melibatkan kawasan eksibit khas berkeluasan 1.6 hektar.
Sejumlah RM15 juta ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala bakinya oleh kerajaan.
Kos penjagaan panda oleh Zoo Negara pula dianggarkan RM1.5 juta setahun.
Sekiranya kedua panda membiak, Malaysia perlu membayar China sebanyak RM2 juta dan hanya boleh menyimpan bayi panda itu untuk tempoh 2 tahun.
Kesediaan kerajaan China meminjamkan beruang panda itu disifat sebagai simbol keakraban hubungan kedua negara yang bakal meraikan ulang tahun ke-40 jalinan diplomatik sejak 1974.
Bantahan pinjaman
Dalam keterujaan menyambut panda ke Malaysia, ada pihak yang membantah tindakan haiwan terancam itu dipinjamkan ke Malaysia.
Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berpendapat keutamaan perlu diberikan memastikan survival haiwan itu di habitat liar.
Melainkan hasil perjanjian itu membawa pulangan positif kepada pemuliharaan panda dan hidupan liar, WWF melihat ia sebagai satu pembaziran kos.
Ini kerana kos RM3 juta setahun untuk membiayai kedua panda itu dilihat lebih baik digunakan untuk program pemuliharaan haiwan lain khususnya haiwan terancam di malaysia seperti harimau, penyu, orang utan dan badak Sumatra.
Bakal tarik pelancong
Namun jika dilihat skop lebih luas dahulunya Zoo Negara sepi sahaja kini dengan kehadiran panda, ia bakal menarik lebih ramai lagi pelancong.
Kejayaan zoo lain yang mempunyai panda membuktikan haiwan itu merupakan daya tarikan yang cukup memberangsangkan.
Daripada 300 ekor panda gergasi di dalam kurungan, lebih kurang 250 ekor di China manakala 47 ekor di negara-negara lain.
Menurut laporan The Guardian, Zoo Edinburgh berjaya memecah rekod pengunjung dengan kehadiran panda Tian Tian dan Yang Guang.
Pemiliknya Royal Zoological Society Of Scotland mendedahkan pulangan keuntungan zoo telah meningkat lebih daripada RM27 juta kepada RM81 juta pada tahun 2012.
Kedatangan pengunjung meningkat mendadak 51% dengan kehadiran panda pada 2011.
Zoo berkenaan yang mengalami defisit RM6.5 juta mencatatkan pulangan lebihan RM13 juta tahun lepas selepas ketibaan panda.
Menurut laporan itu, penjualan tiket dan barangan cenderamata sahaja mampu menampung kos menyimpan panda.
Selain itu, orang ramai juga dapat memahami hidupan liar dan belajar untuk memulihara mereka.
SUMBER : http://www.astroawani.com/
No comments :
Post a Comment
Seronok tak entry nie?Komen la sikit..。^◕‿◕^。